
SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor maut dipercayai terjatuh dari sebuah apartmen di Vista Alam, Seksyen 14, Shah Alam pada awal pagi Rabu. Pusat Kawalan IPD Shah Alam menerima maklumat kejadian pada jam kira-kira 3.07 pagi, dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan kematian pegawai lelaki berkenaan dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat. Polis Selangor turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.