PBT diberi kuasa ‘bersihkan’ rumah ibadat dibina tanpa kebenaran: PM

Foto Bernama

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diizin ‘membersihkan’ rumah ibadat yang sengaja dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kerajaan tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan.

“Saya dengan ini mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan yang (pembinaan rumah ibadat) tidak mengikut peraturan, dan majlis bandaraya (PBT) diberi keizinan untuk bertindak supaya ‘bersihkan’ kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.

“Saya tahu (ini akan) mengundang kontroversi, sebab itu beritahu, kalau yang melampau sampai ada kempen nak merobohkan kuil, itu salah juga, kerja kami kerja negara, ini negara hukum,” katanya.

Semua perkara yang mahu dilakukan perlu mematuhi garis panduan undang-undang termasuk pembinaan rumah ibadat mana-mana agama, katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa memang perlembagaan menjamin hak seseorang mengamalkan agama masing-masing, namun masih ada aspek yang perlu diberi perhatian.

“Kita tidak boleh biarkan ia (rumah ibadat tanpa kebenaran) bercambah di mana-mana saja, di bawah pokok, di mana-mana (tempat lain).

“Amalan ini mesti dihentikan,” katanya ketika berucap di majlis Kementerian Perpaduan Negara.

Anwar berkata, kawalan peraturan membina rumah ibadat turut dilaksanakan di negara luar termasuk India dan China.

“India pun tidak membenarkan (pembinaan tanpa sini) ini, kecuali untuk kuil yang dibina secara sah.

“Jadi marilah kita belajar daripada ini,” katanya.