Patuhi undang-undang bina rumah ibadat: Agong

Foto FB/officialsultanibrahim

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, isu pembinaan kuil hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.

Baginda menitahkan sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum.

Titah Seri Paduka, Malaysia sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.

Justeru, baginda mengingatkan bahawa setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai berkenaan demi kepentingan bersama, wajib mematuhi undang-undang yang termaktub, termasuk dalam perkara berkaitan penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat.

Sultan Ibrahim mengimbas kembali pengalaman peribadi pada Januari 2018 apabila baginda bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terbabit agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.

“Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.

“Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya.

“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah,” titah Seri Paduka.