
PUTRAJAYA: Pasport Malaysia dan MyKad berwajah baru bakal dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) enam bulan lagi.
Penambahbaikan dokumen pengenalan diri dengan reka bentuk dan ciri keselamatan itu dibuat bagi memperkukuh tahap keselamatan dokumen berkenaan selaras perubahan teknologi dan keperluan semasa, termasuk membanteras pemalsuan MyKad.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata rakyat tidak perlu berpusu-pusu untuk memperbaharui pasport dan MyKad mereka kerana ia masih boleh digunakan sehingga tamat tempoh.
Katanya, pelaksanaan ini antara pencapaian penting kerajaan dalam usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan diri dan perjalanan negara.
“Ketika ini, pasport Malaysia berada di kedudukan ketiga paling dipercayai di dunia, diukur berdasarkan tahap kebebasan perjalanan tanpa visa yang dinikmati pemegangnya.
“Namun, kita akan memiliki pasport berwajah baharu untuk rakyat Malaysia dalam tempoh enam bulan dari sekarang dengan ciri keselamatan diperketatkan,” katanya.