Parlimen Lulus RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025

Foto Fail / Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang memperuntukkan penubuhan jawatan Ketua Pembelaan Awam serta Pembela Awam.

RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahas oleh 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung RUU itu, berkata undang-undang ini akan mewujudkan satu jurang keadilan khususnya bagi golongan miskin dan kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU) dan tertuduh yang tidak mampu mendapatkan peguam sendiri.

“Dengan RUU ini, ia akan memodenkan kerangka undang-undang untuk meliputi bukan saja sivil dan syariah, tapi juga pengantaraan dan pendampingan guaman. Buat pertama kali (diperkenalkan) ialah khidmat pembelaan awam,” katanya.

Menyentuh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Azalina berkata, YBGK tidak akan diketepikan daripada peranannya di bawah undang-undang baru ini.

Malah katanya, jika melihat kepada rekod bantuan kewangan sudah diperoleh YBGK sejak mula ditubuhkan pada 2011 hingga tahun lalu, sudah melebihi RM100 juta iaitu satu perbelanjaan cukup besar.