
KUALA LUMPUR: Dua individu dipercayai terbabit dalam pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah dikenal pasti.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan dijalankan susulan laporan polis berhubung isu pemalsuan dokumen berkaitan pendaftaran pemain terbabit.
Katanya, usaha untuk mengesahkan identiti sebenar dan mengesan kedua-dua individu yang dipercayai terbabit pemalsuan dokumen yang dikemukakan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu sedang giat dijalankan untuk siasatan lanjut.
“Setakat ini, 45 laporan polis diterima termasuk satu laporan daripada FAM, selain merakam percakapan 43 saksi membabitkan FAM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta saksi awam bagi melengkapkan siasatan.
“Siasatan awal polis mendapati taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya itu dibuat melalui proses yang teratur dan mengikut semua prosedur ditetapkan oleh undang-undang sedia ada.
“Siasatan seterusnya menjurus kepada elemen penipuan dan pemalsuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ketika proses pendaftaran serta mengemukakan dokumen pemain yang terbabit FIFA,” katanya.
Rusdi berkata, hukuman yang diperuntukkan di bawah kesalahan ini ialah penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat, dan juga dikenakan denda.