
SUBANG JAYA: Prof Emeritus Datin Paduka Dr Siti Zuraina Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang menemukan rangka Perak Man, dianugerah Tokoh Akademik Negara di Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-16 hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan anugerah itu kepada pakar arkeologi berkenaan.
.
Siti Zuraina menerima trofi, sijil dan wang tunai RM200,000.
Penemuan saintifik saintis ulung itu yang bermula sejak akhir 1970-an, telah merevolusikan pemahaman prasejarah Malaysia hasil penyelidikan di Lembah Lenggong dan Niah serta penemuan teknologi alat batu paleolitik tertua di Asia Tenggara dan perluasan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia.
Tokoh ini juga menemukan rangka Perak Man dengan kecacatan genetik 10,000 tahun lepas, sekali gus memberikan sumbangan penting kepada sejarah sains perubatan dan genetik.
Penemuan itu membolehkan Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 selain mengesahkan peranan kawasan itu sebagai laluan migrasi manusia dari Afrika ke Australia yang menyumbang kepada teori sejarah manusia global.
Siti Zuraina yang telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Women at 50 Yale Award dan Anugerah Merdeka kini terus aktif sebagai pakar rujuk warisan dan akademik, serta meneruskan legasi penyelidikan dan kepimpinan global.
AAN yang diwujudkan sejak 2006, mempertandingkan tujuh kategori berprestij dengan 15 anugerah, namun pada tahun ini, hanya sembilan pemenang memenuhi kriteria pemilihan yang ditetapkan.
Anugerah Pengajaran dimenangi Dr Manraj Singh Cheema dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Kelompok Sains Kesihatan, Prof Dr Haslinda Ibrahim dari Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi Kelompok Sains Tulen serta Dr Rahimah Jamaluddin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan.
Anugerah Seni dan Kreativiti diterima Ts Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris dari UUM bagi Kelompok Seni Persembahan, manakala Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal dimenangi oleh Prof Madya Dr Gan Wee Chen dari Universiti Xiamen Malaysia bagi Bidang Sains dan Prof Madya Dr See Kok Fong dari USM bagi Bidang Sains Sosial dan Sastera.
Anugerah Penerbitan Buku pula dimenangi Prof Madya Dr Norhayati Mohd Noor dari USM, manakala bagi kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk diraih Prof Madya Dr Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dari USM.
Masing-masing membawa pulang trofi, sijil dan wang RM50,000.