Pahang Musnah Semua Ladang Durian Haram

KUALA LUMPUR: Semua Kawasan hutan yang diceroboh untuk penanaman durian dihapuskan sepenuhnya dalam Ops Sekat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

JPNP mengesahkan semua kawasan hutan itu berjaya dibersihkan sepenuhnya menerusi operasi yang berakhir hujung bulan lalu.

Meurut jabatan itu, operasi yang bermula pada 21 Julai lalu, menumpukan kawasan hutan yang diceroboh dan ditanam pokok durian pelbagai spesies termasuk Musang King, IOI dan D24 secara tidak sah, terutama di daerah Raub dan sekitarnya.

Pengarah JPNP, Zainuddin Jamaluddin, berkata pembersihan dilakukan dalam beberapa fasa, membabitkan penebangan pokok durian, manakala pokok herba seperti kantan dan tumbuhan kecil lain yang tidak menjejaskan struktur hutan tidak dimusnahkan.

“Setakat ini, semua kawasan yang diceroboh dengan penanaman durian sudah dibersihkan. Proses berjalan lancar tanpa sebarang bantahan penduduk, malah di Kampung Temelian di Raub, mereka yang menanam durian itu sendiri membantu kami.

“Ini kerana kita mengedarkan notis pengosongan tanah yang dilakukan penduduk tanpa kebenaran dengan menyatakan pihak yang bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 32, Akta Perhutanan Negara 1984 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.