Pahang Kembali dilanda Banjir, Sarawak Pulih

Foto RTM

KUALA LUMPUR: Pahang kembali dilanda banjir apabila hujan lebat berterusan dan 118 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuantan dan Maran.

Aplikasi InfoBencana JKM menyatakan, 52 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di Kuantan, manakala 66 penduduk daripada 17 keluarga berlindung di sebuah PPS di Maran.

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran pula menunjukkan bacaan paras air di stesen Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan melebihi paras bahaya.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir menurun kepada 212 orang daripada 58 keluarga setakat 5 petang ini, berbanding 460 orang daripada 141 keluarga.

Di Sarawak, JPBN negeri memaklumkan situasi banjir semakin pulih dengan hanya satu PPS masih aktif di Miri.

Dalam pada itu, hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang dan Johor hingga esok.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata amaran tahap buruk yang dikeluarkan membabitkan Dungun dan Kemaman di Terengganu, manakala di Pahang melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan serta Rompin sementara di Johor kawasan terlibat adalah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada bagi tempoh sama juga diramal melanda seluruh Kelantan serta Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu.

Amaran tahap waspada itu juga melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera di Pahang serta daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca serta saluran media sosial rasmi MetMalaysia dan talian 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.