
PUTRAJAYA: Orang ramai disarankan untuk mendaftar MyDigital ID segera bagi memastikan akses kepada dua platform utama kerajaan berjalan lancar apabila kaedah log masuk tunggal dikuatkuasakan sepenuhnya dalam masa terdekat.
Dua platform berkenaan ialah MyJPJ dan MyBayar PDRM.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Nik Hisham Nik Ibrahim berkata kedua-dua platform berkenaan telah diintegrasikan dengan MyDigital ID, dengan pengguna masih boleh memilih untuk log masuk menggunakan kata laluan sedia ada atau MyDigital ID.
Bagaimanapun, beliau berkata apabila pelaksanaan log masuk tunggal bermula, pengguna dikehendaki untuk log masuk menggunakan MyDigital ID sahaja bagi mengakses perkhidmatan berkenaan.
“Penggunaan MyDigital IDA sebagai log masuk tunggal menjanjikan satu era baru pengesahan identiti digital yang lebih mudah, selamat dan telus.
“Kami komited untuk memastikan setiap pengguna mendapat kemudahan maksimum dengan tahap keselamatan tinggi sekali gus mempercepat transformasi digital negara secara inklusif dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkhidmatan MyJPJ merangkumi urusan semakan kelayakan Program Khas Peralihan Kelas B, permohonan dan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM), pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), semakan mata demerit, semakan status senarai hitam, semakan saman, pembayaran sama (kecuali kes senarai hitam) dan e-Aduan.
MyBayar PDRM pula adalah urusan semakan dan pembayaran saman trafik PDRM.