Orang buat kerja, you maki buat apa?: Anwar

Foto Fail / Bernama

PETALING JAYA: Orang buat kerja, nak pecat pasal apa? Baca penjelasan dia. Ini suatu penyakit, orang buat kerja you (awak) maki buat apa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menegur pihak yang terus mengkritik dan mendesak tindakan dikenakan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, susulan laporan mengenai pemilikan sahamnya dalam sebuah syarikat.

Beliau berkata, sebelum apa-apa tuduhan dan gesaan disuarakan, setiap pihak perlu mendengar penjelasan daripada Azam.

Ditanya mengenai desakan supaya Azam dipecat atau meletak jawatan, Perdana Menteri berkata: “Wrong (Salah). Dengar penjelasan masing-masing,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), di sini, malam tadi.

Azam dalam sidang medianya semalam mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada agensi berita antarabangsa, Bloomberg susulan laporan yang disifatkannya ‘mengelirukan’ dan ‘berunsur fitnah’ berhubung urus niaga saham lamanya dalam Velocity Capital Bhd.