
KUALA LUMPUR: Ombudsman Malaysia akan ditubuhkan sebagai agensi pusat untuk mengurus dan menyelesaikan aduan awam dengan mandat lebih menyeluruh.
Ia akan merangkumi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu adalah antara persetujuan penting yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 8 yang beliau pengerusikan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, semalam.
Beliau berkata penubuhan Ombudsman Malaysia menzahirkan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam, dan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia dijadual dibentangkan pada awal 2026.
“Melalui Mesyuarat JKKTN Siri 8 ini, beberapa persetujuan penting membabitkan pembaharuan dasar dan perundangan telah dicapai bagi memperkukuh keberkesanan serta integriti pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata kerajaan turut memberi penekanan terhadap peningkatan tahap pematuhan korporat bagi syarikat yang mengurus dana awam agar mandat sosial mereka dilaksanakan mengikut standard tadbir urus yang baik serta berpaksikan kerangka undang-undang lebih tersusun.