
TANJONG MALIM, 18 Oktober 2025 – Siapa sangka perpustakaan akademik yang berperanan menyokong pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan mampu menawarkan pengalaman pembelajaran luar bilik darjah yang menyeronokkan dan unik.
Seramai 85 peserta menyertai program Night at the Library anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak yang berlangsung pada 17 dan 18 Oktober lepas.

Program yang memasuki tahun kedua penganjuran itu menampilkan konsep pembelajaran santai dan tidak formal yang berjaya menarik minat pelajar serta menyemarakkan budaya ilmu. UPSI turut menjadi universiti awam pertama yang melaksanakan program seumpama itu.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah Dark Library Hunt!, Campfire & Survival Night, Explore Race serta persembahan kumpulan yang menguji kerjasama dan kreativiti peserta.
Bagi memastikan keselesaan peserta, sebanyak 15-unit khemah disediakan di ruang perpustakaan sebagai tempat penginapan sepanjang program dua hari satu malam itu.
Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan JPN Perak, Norhan Suid@Shuib, yang menyempurnakan majlis penutupan program itu, merakamkan penghargaan atas kejayaan UPSI menganjurkan aktiviti berimpak tinggi tersebut.

“Tahniah kepada UPSI atas penganjuran aktiviti yang bersesuaian dengan peserta serta memberi peluang unik untuk murid-murid mengasah pelbagai kemahiran, meningkatkan kreativiti dan berinteraksi dalam suasana berbeza,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad, menzahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana perancangan rapi bagi program berkenaan berjalan lancar dan mendapat sambutan luar biasa.

“Program seumpama ini merupakan langkah berterusan ke arah memperkukuh keterlihatan perpustakaan sebagai nadi penting dalam memupuk kesedaran dan minat membaca, bukan sekadar gedung buku semata-mata.
Beliau turut memaklumkan bahawa program tersebut akan dijadikan aktiviti tahunan berikutan permintaan tinggi daripada ibu bapa dan pihak sekolah.
“Saya percaya jalinan strategik dan sokongan JPN Perak akan terus mengukuhkan pelaksanaan program ini. Terima kasih juga kepada penaja luar seperti Gempaq Starz, Blink Books, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan MustRead Publication atas sumbangan buku kepada para peserta,” katanya.
