
KUALA LUMPUR: Visal Association, antara pertubuhan yang mengendalikan bantuan kemanusiaan di Palestin, mengunjungi pejabat Channel10 di Subang Jaya, dalam rangka lawatan bagi menjalin hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media Islam di rantau Asean.
Diketuai oleh Pengarah Perhubungan Awamnya, Dr Mohammed Alazami dan Pengarah Hubungan Antarabangsa, Ayman Jadallah, mereka turut ditemani oleh wakil MyCare Malaysia, Pengurus kanan Khalid Jimat. Mycare ialah rakan strategik mereka.
Dalam kunjungan itu, selain menjelaskan peranan dan matlamat Visal Association, mereka turut memberi taklimat mengenai perkembangan terakhir di Gaza,
Mewakili Channel10my ialah Pengarang Urusannya, Datuk Manja Ismail; Ketua Pengawai Eksekutif, Adlin Murtaza dan Penasihat Editorial, Hanif Hadi. Selepas itu, kedua-duanya menjadi tetamu program Ngopi@Channel10.

Walaupun ditubuhkan secara rasmi pada awal 2025, kebanyakan pendokong Visal Association terbabit dalam kerja-kerja kemanusian di Gaza sejak 2015.
Visal atau istilah Arabnya Wisal, bermaksud pertemuan semula atau perjuangan bersama. Visal Association dipelopori oleh pelarian Gaza berpusat di Istanbul, Turki.
Matlamat utama Visal Association ialah membantu perjuangan rakyat Palestin melalui kerja-kerja kemanusian berteraskan kepercayaan, ketelusan dan kemapanan.
Antara projek yang dilaksanakan oleh Visal Association di Gazasekarang ialah mengagihkan air bersih dan makanan; membina semula rumah dan pusat kesihatan; serta menyediakan bantuan pendidikan kanak-kanak.