
KUALA LUMPUR: Generasi muda, khususnya kanak-kanak dan remaja, akan terus didik supaya lebih bertanggungjawab kepada alam sekitar menerusi pembelajaran dalam talian dan bersemuka.
Pengerusi Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST), Sulaiman Salikan, berkata inisiatif melalui projek TERNS-NEST itu menggariskan matlamat utama mendidik dan membentuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menjadi pemimpin masa depan yang peka terhadap alam semula jadi dan tanggungjawab sosial.
Program yang nama asalnya Nature U diperkenalkan 2018 dan ditukar kepada TERNS yang merujuk terma Train (latih), Educate (mendidik) dan Responsibility to Nature and Society (tanggungjawab terhadap alam semula jadi dan masyarakat), terbuka kepada peserta berusia antara 10 hingga hingga 17 tahun.
TERNS ialah ‘sayap pendidikan’ NEST, tidak terhad kepada teori semata-mata, tetapi juga lawatan alam, aktiviti sukarelawan, latihan kemahiran seperti pengurusan, amalan lestari dan sokongan kepada komuniti dalam pemuliharaan alam sekitar.
Selain pembelajaran dalam talian, peserta bertemu secara fizikal dua kali sebulan di Taman Tugu, di sini untuk tugasan berkumpulan merangkumi alam semula jadi dan pelbagai lagi.