Isu Teknikal Pesawat: Jemaah Haji KT051 Sambung Perjalanan Pagi Rabu

Foto Bernama

MAKKAH: Sebanyak 278 jemaah haji Malaysia bagi penerbangan KT051 yang mendarat cemas di Muscat, Oman, susulan isu teknikal pesawat dijadual meneruskan perjalanan ke Jeddah awal pagi Rabu dengan menaiki pesawat alternatif. Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, penerbangan yang disediakan AMAL by Malaysia Airlines itu dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Muscat pada 6 Mei, jam 3 pagi waktu tempatan.

Penerbangan tersebut dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada jam 5.10 pagi waktu Arab Saudi pada hari yang sama. Menurut TH, semua jemaah yang terlibat telah diberikan kemudahan makanan dan minuman sebelum dibawa ke hotel penginapan untuk berehat sementara menunggu waktu pelepasan semula.

Bagi memastikan kebajikan jemaah terus terpelihara, petugas daripada pihak AMAL by Malaysia Airlines telah ditugaskan untuk berada di lapangan terbang berkenaan dengan kadar segera bagi memantau keadaan semasa. Pesawat MH8110 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu terpaksa melakukan pendaratan di Muscat pada jam 4.11 petang semalam waktu tempatan selepas dikesan mengalami isu teknikal.

TH sebelum ini menegaskan bahawa pendaratan tersebut dibuat sebagai langkah keselamatan standard dan mengesahkan semua jemaah berada dalam keadaan baik serta tidak terjejas. Pihak berkuasa akan terus menyalurkan maklumat terkini kepada keluarga jemaah dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang kebimbangan.

Sumber: Bernama