Naratif Sejarah Mesti Berasas Fakta, Bukan Ikut Sudut Penjajah: PM

Foto Jabatan Perdana Menteri

MELAKA: Naratif sejarah negara harus dibina berdasarkan fakta dan warisan sendiri, bukan melalui sudut pandang penjajah Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, penulisan sejarah negara mesti dikembalikan kepada asas sebenar tamadun dan kebitaraan Melayu yang sudah lama menjalin hubungan dengan dunia luar.

“Saya masih ingat, seawal tahun 1961, sarjana sosiologi terkemuka negara, Prof Syed Hussein Al-Atas dalam Persidangan Ahli Sejarah Asia sudah mengingatkan bahawa sejarah kita tidak boleh ditentukan oleh penjajah atau tunduk kepada naratif Barat.

“Kita memiliki sebuah tamadun. Kita mempunyai hubungan perdagangan dengan Timur dan Barat, selain kerajaan China melalui Laksamana Cheng Ho, dunia Arab dan kuasa Barat.
“Itu semua adalah bentuk awal globalisasi,” katanya ketika berucap melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di Encore Melaka, di sini malam semalam.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.turut hadir.