
KUALA LUMPUR: Ibu bapa adalah benteng utama dalam membentuk keperibadian serta nilai sosial anak-anak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Semuanya bermula di rumah. Kalau ibu bapa sendiri tidak membimbing anak, maka di situlah akar masalahnya.
“Anak sekarang terdedah kepada pelbagai gajet. Kita tidak boleh membiarkan mereka tanpa bimbingan, sebab kalau kita biarkan, inilah yang menjadi masalah di sekolah hari ini,” katanya
Katanya, penekanan terhadap disiplin, pemantauan dan komunikasi ibu bapa adalah benteng utama dalam membentuk keperibadian serta nilai sosial anak-anak.
Beliau berkata, ibu bapa perlu memperkukuh nilai kekeluargaan dengan komunikasi dua hala bersama anak-anak, selain mengamalkan langkah mendisiplinkan mereka melalui pendekatan seimbang dan penuh kasih sayang.
Menurutnya, bapa juga perlu mendekati anak secara berterusan kerana kasih sayang dan perhatian dalam rumah tangga dapat mengurangkan kecenderungan remaja mencari perhatian di luar.
Pendedahan kanak-kanak dan remaja tanpa kawalan terhadap pelbagai bahan dalam talian menyebabkan sebahagian golongan itu menganggap perbuatan tidak bermoral sebagai perkara normal, katanya.