
KUALA LUMPUR: Rapper tempatan, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, ditahan polis untuk membantu siasatan mengenai kematian wanita warga Taiwan yang aktif di media sosial.
Pempengaruh wanita warga Taiwan berusia 31 tahun itu ditemui mati dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, di sini, pada 22 Oktober lalu.
Ketika kejadian, Namewee, turut berada dalam bilik sama.
Namewee, kemudiannya ditahan selepas polis mengesyaki dia memiliki dan menggunakan dadah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.
“Dalam laporan sebelum ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) terhadap wanita warga asing yang ditemui di Banyan Tree Hotel, di sini, pada 22 Oktober lalu.
“Kes diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut kes sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.