Nama Saintis UMT Diabadi Pada Parasit Ikan

Foto Siraplimau

KUALA LUMPUR: Seorang saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengharumkan nama negara apabila namanya diabadikan pada spesies baru parasit ikan yang ditemui penyelidik.

Prof Madya Dr Hafiz Borkhanuddin diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang sains marin dan akuakultur.

Spesies parasit berkenaan dinamakan Thelohanellus Borkhanuddini sebagai penghormatan kepada Dr Hafiz Borkhanuddin yang merupakan Ketua Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) yang juga bekas Ketua Program Biologi Marin UMT.

Penemuan ini diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Aquaculture Reports dan mendapat perhatian media sains antarabangsa, meletakkan penyelidikan itu dalam radar komuniti saintifik global.

Menurut Dr Hafiz, beliau terharu dan bangga apabila sumbangannya dalam bidang sains marin serta parasitologi ikan diiktiraf sehingga namanya kekal dalam rekod taksonomi dunia.

Lebih membanggakan, kajian itu diketuai oleh alumni UMT, Nadhirah Syafiqah Suhaimi yang kini calon doktor falsafah (PhD) di Hungary. Ia membuktikan pembangunan bakat universiti tempatan mampu melahirkan penyelidik bertaraf antarabangsa.

Penemuan spesies baru dalam genus Thelohanellus bukan hanya pencapaian dari sudut klasifikasi saintifik. Ia turut membawa implikasi penting terhadap kesihatan ikan ternakan, produktiviti industri akuakultur dan keselamatan sumber protein akuatik.