Nakba77: Ribuan berarak tanda solidariti

Foto Buletin TV3

Sudah 77 tahun Nakba pertama berlalu. Detik bumi Palestin dirampas dan ribuan nyawa terkorban. Rakyat Palestin terus diusir secara paksa. Kini 90 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal akibat serangan Israel yang berterusan. Lebih 53,000 nyawa terkorban sejak Oktober 2023.

Untuk mengenang malapetaka itu, ribuan orang berhimpun secara aman di hadapan Menara Tabung Haji bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Perhimpunan anjuran lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk BDS Malaysia itu bermula jam 2.15 petang dengan peserta membawa bendera Palestin, sepanduk serta berpakaian hitam putih sebagai simbol penentangan terhadap kekejaman rejim Zionis.

Suasana jadi gamat apabila peserta melaungkan Free Palestine dan From The River To The Sea serta Hentikan Pembunuhan Di Gaza sambil berarak menuju Suruhanjaya Tinggi British dan Kedutaan Amerika Syarikat.