Najib Tun Razak Fail Rayuan Kes 1MDB

Foto Fail Malaysikini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda berjumlah RM11.4 bilion berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam bela beliau, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, memaklumkan notis rayuan tersebut difailkan pada malam 29 Disember. Perkara itu turut disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib.

Rayuan berkenaan difailkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu yang mensabitkan Najib atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana kerajaan berjumlah RM2.3 bilion.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan penyalahgunaan kuasa, selain mengenakan denda keseluruhan sebanyak RM11.4 bilion. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Najib boleh dikenakan hukuman penjara tambahan sehingga 40 tahun.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, bekas perdana menteri itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa sebarang denda.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara dijalankan secara serentak, menyebabkan Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 15 tahun.

Mahkamah turut menetapkan hukuman berkenaan hanya akan bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes melibatkan SRC International, yang dijadualkan berakhir pada 23 Ogos 2028.