
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah terhadap tuduhan pertama menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi, membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pembelaan.
“Pihak pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan munasabah kes terhadap tertuduh berhubung pertuduhan pertama. Oleh itu, saya mensabitkan tertuduh atas pertuduhan pertama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM” katanya.
Mahkamah sebelum itu memutuskan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan itu tidak menyebabkan prejudis terhadap Najib.
Tegas Hakim, semua pertuduhan berkenaan tidak kabur, tidak cacat atau bertindih antara satu sama lain.
“Pembelaan tidak terjejas dalam perbicaraan kes itu kerana Najib diwakili pasukan peguam yang memahami sepenuhnya pertuduhan yang dihadapinya. Najib memahami pertuduhan salah guna kuasa yang dikenakan terhadapnya, selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001”
Mahkamah turut menolak hujahan pembelaan bahawa dana yang diterima adalah derma politik kerana wang terbabit dipindah terus ke dalam akaun peribadi Najib.
Najib yang dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama berdepan berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.