
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa wang RM42 juta yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan derma dari Arab Saudi.
Pengakuan itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini ketika disoal balas oleh peguam SRC International Sdn Bhd, Kwan Will Sen, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan terhadapnya oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.
“Pada ketika itu, saya menyangka ia adalah derma dari Arab Saudi,” kata Najib.
Kwan: Pada fikiran anda, jika saya boleh menggunakan perkataan itu, pada ketika ini, adakah RM42 juta itu tidak ada kena-mengena dengan derma Arab Saudi?
Najib: Berdasarkan pengetahuan yang diperoleh kemudian, ya.
Terdahulu, Kwan meminta Najib mengakui bahawa pembelaan beliau berhubung “derma Arab Saudi” telah ditolak sepenuhnya oleh mahkamah dalam prosiding jenayah berkaitan.