Nahas UPSI: Syarikat bas didenda RM20,000

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah menjual bas persiaran bernombor pendaftaran PLD 8892 dan menyewa permit bas terbabit kepada Noreen Maju Trading.

Noreen Maju Trading, adalah entiti yang menjalankan perniagaan pengendalian pelancongan tanpa lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

Bas persiaran terbabit, yang dikendalikan oleh Noreen Maju Trading terbabit dalam kemalangan maut di Gerik, Perak ketika membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pulang ke kampus Tanjong Malim pada 9 Jun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan kepada syarikat terbabit oleh Mahkamah Majistret Gerik pada 3 November lalu yang mensabitkan syarikat itu atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 6(1)(f) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 kerana gagal mematuhi syarat lesen yang melarang urus niaga dengan pihak tidak berlesen.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan kegagalan membayar boleh membawa hukuman penjara hingga lima tahun.