
PETALING JAYA: Keuntungan tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan 2024 dicatat oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sejak penubuhannya pada 1972.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM21,002,941 diagihkan kepada 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) yang seterusnya memberikan manfaat kepada 212 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
“Reformasi NAFAS 2.0 bukan sekadar gimik atau slogan, ia sudah pun menunjukkan hasil kerana dijalankan dengan urus tadbir yang telus, ketelusan dipertingkatkan dan disiplin kewangan ditegakkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dividen PPN dan Majlis Iftar NAFAS 2026 di sini.
Beliau berkata, pelaksanaan agihan dividen berkenaan dipercepat melalui perintah khas bagi memastikan kebajikan ahli peladang terus terpelihara.
“Saya akan menggunakan kuasa yang ada di bawah undang-undang untuk membantu ahli peladang. Begitu juga ketika saya membantu NAFAS mendapatkan RM20 juta, walaupun kerajaan tidak terikat atau wajib untuk memberikan peruntukan.
“Alhamdulillah, kerajaan setuju untuk beri RM20 juta dan dapat kita beransur-ansur membawa NAFAS ke arah yang lebih maju sekarang dan pada masa yang akan datang,” katanya.