
KUALA LUMPUR: Wisma Putra memaklumkan Nadia Kesuma yang meninggal dunia Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah, Arab Saudi pada jam 7.35 pagi semalam.
Suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah dan anak perempuan mereka hadir upacara pengebumian itu.
Kementerian Luar merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memudahkan dan menyelaras urusan berkaitan pengebumian itu, termasuk Kerajaan Arab Saudi, Hospital King Fahd dan agensi berkaitan.
.
“Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah bekerjasama rapat dengan waris terdekat serta pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan dan menyelaras semua urusan berkaitan pengebumian,” kata kenyataan Wisma Putra.
Nadia Kesuma atau nama sebenar Nadiah Kasumawati Abdul Karim menyertai pakej Umrah-London-Paris sebuah agensi pelancongan bersama-sama 21 jemaah lain dan berlepas dari KLIA pada 1.48 pagi, Selasa lalu.