
GEORGETOWN: Jenazah pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan meninggal di Jeddah, akan dikebumikan di sana, kata suaminya Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah.
“Kami tak akan bawa pulang jenazah ke tanah air sebab dari dulu, isteri sering melahirkan hasrat mahu ke Makkah, jadi kami tunaikan permintaannya,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Beliau ditemani anak perempuannya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur untuk menaiki penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi, bagi menguruskan kematian isterinya itu.
Muhammad Kamarul berkata, dia dimaklumkan mengenai kematian isterinya itu pada malam semalam dan keluarganya menerima ketentuan berkenaan dengan penuh reda dan sabar.
Katanya, walaupun tiada butiran rasmi berhubung kematian itu setakat ini, berkata keluarganya telah menerima keadaan tersebut.
“Wisma Putra menghubungi saya dan memaklumkan apa yang berlaku. Walaupun tiada butiran rasmi setakat ini, saya sekeluarga menerima ketentuan ini dengan sabar dan reda selepas kehilangan isteri dilaporkan sejak Khamis lalu.
“Wisma Putra mempunyai maklumat lanjut dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi. Saya mohon maaf kerana tidak dapat berkata banyak buat masa ini,” katanya.