
KUALA LUMPUR: Buat kali perama parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera bermusyawarah untuk berbincang serta mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum.
Pertemuan sempena Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera itu berlangsung di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Umno dan tujuh lagi parti politik utama yang terbabit pertemuan itu ialah Pas, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Kimma dan dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui Facebook, sebentar tadi.berkata, beliau diamanahkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah itu.
Ia menghimpunkan pelbagai parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.
“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang membabitkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya.