
Musim durian di daerah Perak Tengah tahun ini dijangka berlanjutan sehingga hujung November atau Disember berikutan faktor cuaca panas berpanjangan sejak Mei lalu.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, keadaan itu menyebabkan proses pendebungaan lebih baik, sekali gus menghasilkan buah yang lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, fenomena kali ini agak unik kerana dalam tempoh sama ada pokok berbuah dan berbunga serentak, berbeza dengan kebiasaan musim durian yang berlaku secara berperingkat.
“Jun dan Julai lalu ada pokok sudah gugur buah, tapi masih berbunga semula. Saya yakin putik yang ada sekarang akan gugur hujung September atau awal Oktober sebelum musim berterusan sampai November.
“Cuma cabaran besar ialah perosak tanaman seperti monyet dan beruk yang menjadikan kebun sasaran sekali gus pekebun akan mengalami kerugian,” katanya