
JOHOR BAHRU: Polis menahan guru besar di sebuah sekolah rendah di sini bagi membantu siasatan selepas didakwa memukul seorang murid tahun satu sekolah itu Selasa lalu.
Guru berusia 48 tahun itu ditahan selepas laporan polis dibuat bapa mangsa susulan kejadian dikatakan berlaku jam 7.39 pagi itu.
Pelajar berusia tujuh tahun itu dikatakan ditemui dalam keadaan trauma dan cedera dalam tandas sekolah, mendakwa dipukul guru terbabit.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha, mengesahkan penahanan guru terbabit pada hari sama jam 4.55 petang di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
Beliau berkata, suspek dibawa ke mahkamah dan mendapat perintah reman selama tiga hari berakhir semalam, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.