Muhyiddin Yassin Dilapor Undur Diri Sebagai Pengerusi PN

Foto Fail The Reporter

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Menurut sumber, yang tidak mahu dikenali, Presiden Bersatu itu telah memuktamadkan keputusan berkenaan. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Muhyiddin atau kepimpinan tertinggi PN.

Perkembangan itu berlaku ketika Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menggesa agar PAS mengambil alih kepimpinan gabungan berkenaan. Beliau mendakwa Bersatu gagal bertindak tegas terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik balik sokongan terhadap Datuk Seri Mohd Shukri Ramli.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, situasi berkenaan menunjukkan Bersatu sama ada telah kehilangan kawalan terhadap wakil rakyatnya atau memberikan keizinan secara tidak langsung.

Afnan turut mencadangkan agar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang juga Ahli Parlimen Marang, dilantik sebagai Pengerusi PN.

Sementara itu, pelantikan Abu Bakar sebagai Menteri Besar Perlis pada Ahad lalu dibuat selepas lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN PAS dilaporkan mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) kepada Raja Perlis bagi menarik sokongan terhadap Shukri, yang meletakkan jawatan pada Khamis atas faktor kesihatan.

Susulan perkembangan tersebut, beberapa pemimpin PAS termasuk Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad, dan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, memuat naik hantaran di media sosial yang dilihat memberi isyarat rasa tidak puas hati terhadap situasi dalaman gabungan itu.