MOT Gesa SOP Bagasi KLIA Diperkukuh Selepas Kelewatan 4 Jam

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menggesa prosedur operasi standard (SOP) bagi Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di KLIA ditambah baik, khususnya dari segi masa tindak balas, komunikasi kepada penumpang dan pelan kontingensi. Ketua Setiausaha MOT, Datuk Seri Jana Santhiran menegaskan kementerian memandang serius insiden yang menyebabkan kelewatan bagasi sehingga empat jam kepada penumpang di KLIA Terminal 1 pada 18 April lalu.

Jana Santhiran berkata walaupun sistem berjaya dipulihkan pada malam yang sama, insiden itu tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan susulan yang menyeluruh dan berkesan. Beliau menyifatkan gangguan ini sebagai peluang untuk menilai dan memperkukuh kelemahan sedia ada bagi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan boleh dipercayai demi menjaga keyakinan pengguna lapangan terbang.

Beliau mempengerusikan mesyuarat khas berhubung insiden tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), pengurusan tertinggi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Bahagian Udara MOT serta wakil syarikat penerbangan dan pengendali darat. Dalam mesyuarat itu, CAAM turut diarah menjalankan siasatan penuh berhubung kerosakan BHS yang berlaku.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini turut menyatakan MOT memandang serius kerosakan BHS di KLIA Terminal 1 pada Sabtu lalu, dengan gangguan itu menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam bagi sejumlah besar penumpang yang tiba. Beliau menyatakan kesulitan yang dialami penumpang amat dikesali dan tindakan susulan akan diambil bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

Sumber: Berita Harian