Monsun Timur Laut bermula Khamis ini

Foto Hiasan Berita Harian

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari mulai Khamis ini boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.

Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata dalam tempoh MTL itu, lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.

“Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” katanya.

Mohd Hisham berkata, orang ramai dinasihatkan untuk bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat MTL dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia.

Hari ini METMalaysia mengeluarkan nasihat berkaitan Taufan Fung-Wong yang dikesan berada kira-kira 129-kilometer (km) ke barat daya Vigan City, Filipina, awal pagi tadi.