
KUALA LUMPUR: Taraf hidup rakyat semakin meningkat dan kemiskinan tegar hampir sifar, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah.
Menurutnya, Malaysia hampir menghapuskan kemiskinan tegar apabila hanya 0.09 peratus atau sekitar 7,000 isi rumah dikenal pasti masih berada dalam kategori itu, berbanding lebih 27,000 isi rumah pada 2020.
Menurut laporan Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, kadar kemiskinan tegar negara kini menurun ke tahap 0.09 peratus, satu penurunan besar berbanding beberapa tahun lalu.
Jurang pendapatan turut mengecil dengan Pekali Gini (ukuran ketidaksamaan) menurun kepada 0.39 daripada 0.40, menunjukkan golongan berpendapatan sederhana meningkat lebih cepat berbanding kumpulan berpendapatan tinggi.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata data berkenaan membuktikan dasar peningkatan pendapatan, reformasi pasaran buruh dan bantuan sosial yang disasarkan mula memberi kesan nyata kepada rakyat.
“Kita hampir menoktahkan kemiskinan tegar, hanya tinggal 0.09 peratus isi rumah. Ini hasil pendekatan kerajaan meningkatkan gaji, peluang pekerjaan dan intervensi sosial yang lebih tepat,” katanya.