
NAIROBI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat tiba di Republik Kenya bagi memulakan siri terakhir misi Madani di benua Afrika atas undangan rasmi Presiden Dr William Samoei Ruto.
Lawatan titu adalah langkah penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin, selain membuka ruang kerjasama strategik di antara Malaysia dan Kenya.
“Alhamdulillah, selamat tiba di destinasi terakhir misi Diplomasi Madani yakni Nairobi, Republik Kenya bagi memenuhi undangan rasmi Presiden Dr. William Samoei Ruto,” katanya dalam muat naik di media sosial.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kunjungan itu bukan sahaja memperkukuh ikatan persahabatan, malah menjadi platform untuk meneroka peluang pelaburan, kerjasama ekonomi, serta inisiatif pembangunan yang mampu membawa manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara.
“Kunjungan ini membuka ruang penting untuk memperkukuh persahabatan yang telah terjalin, di samping meneroka peluang pelaburan serta kerjasama strategik yang mampu membawa limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” jelas beliau.
Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa rangkaian pertemuan dan rundingan di Nairobi akan menjadi pencetus hubungan lebih erat dan bermakna.
“Saya menaruh harapan tinggi agar rangkaian pertemuan di Nairobi ini menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat, bermakna, dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam lawatan ini, PM dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Ruto.
Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dan dokumen kerjasama, termasuk dalam pelancongan, serta antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Nairobi.
PM juga dijadualkan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika dan Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Kenya di Nairobi.