
SEREMBAN: Presiden MIC, SA Vigneswaran menyeru Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan langkah bertanding secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, susulan beberapa kenyataan pimpinan PAS yang didakwa kerap menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu.
Menurutnya, kenyataan berulang sesetengah pemimpin PAS yang menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan bukan sahaja menyukarkan sebarang bentuk kerjasama politik, malah menjejaskan usaha BN memenangi hati pengundi berbilang kaum. “Apabila BN terus dikaitkan dengan naratif sebegini, ia sukar buat kita. Sebab itu BN lebih elok berdiri atas kekuatan sendiri demi mempertahankan prinsip kesederhanaan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Kenyataan itu dibuat bagi mengulas ucapan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi Md Nor, yang dalam satu ceramah didakwa menyebut “Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu.” Vigneswaran turut mempersoalkan logik kenyataan tersebut sambil membandingkan kedudukan kaum lain di negara ini. “Menggunakan hujah yang sama, adakah orang Indonesia di sini juga mahu dianggap milik Indonesia? Bagaimana pula kedudukan masyarakat Orang Asli?” katanya.
Beliau turut membandingkan pendekatan PAS dengan Parti Amanah Negara yang dinilainya lebih inklusif dalam membawa agenda Islam tanpa melukakan perasaan kaum Cina dan India. Isu itu turut mengundang reaksi Presiden MIPP, P Punithan, dan timbul ketika kempen PRN Negeri Sembilan sedang rancak menjelang pengundian minggu depan.