
PUTRAJAYA: Mesir mengajak Malaysia menjadi penganjur bersama sidang pemulihan Gaza, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menghubungi beliau bagi menyatakan kesediaan Mesir menganjur sidang berkenaan.
“Kita sedang bekerjasama dan meneliti kebijaksanaan acara program itu kerana tanggungjawab kita dari segi keadilan sejagat itu harus kita sempurnakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penutup Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku, di Dataran Putrajaya, semalam.
Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus menyuarakan pendirian secara tegas bahawa perdamaian sebenar di Palestin mesti bersifat menyeluruh dan berteraskan pengiktirafan hak rakyatnya.