Mesin Padi Jatuh Sungai, 3 Selamat, Seorang Lemas

Foto Bomba / Berita Harian

SANGLANG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga selamat selepas sebuah mesin padi terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang ,di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.40 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Ahmad Nazril Ab Rahman bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi pencarian mangsa.

“Tiga daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang mangsa masih hilang.

“Setakat ini operasi masih dilakukan di lokasi kejadian dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Jitra untuk mencari mangsa di permukaan air,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan kejadian itu.

“Operasi masih dilakukan di lokasi setakat ini dan maklumat lanjut akan dimaklumkan nanti dan setakat ini tiga dilaporkan selamat dan seorang masih hilang,” katanya.