Menteri Tiada Hak Ugut Wartawan

Foto Facebook Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR: Apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengugut wartawan untuk ‘menghubungi ketua pengarang’ selepas diajukan soalan mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam slogan kempen rasmi kerajaan, ia dianggap reaksi tidak matang.

Malah ia adalah cerminan sikap tidak menghormati peranan dan fungsi media sebagai tiang seri keempat demokrasi.

Di majlis prapelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu Kor Ming menganggap soalan wartawan itu memalukan negara di hadapan pengamal media asing.

Namun, soalan ‘mengapa tidak menggunakan bahasa Melayu’ bukan provokasi, sebaliknya sah, wajar dan tepat dalam konteks portfolio Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT), yang turut ditaklifkan untuk memantau penggunaan bahasa kebangsaan di ruang awam.

Sejak dahulu, penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang kecil iklan dilaksanakan PBT dengan kerjasama rapat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaras Akta DBP 1959 (Pindaan 1995).

Malah, DBP melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan PBT (JPPBT) secara berkala membincang isu penguatkuasaan bahasa, iaitu realiti pentadbiran yang sepatutnya diketahui semua menteri.

Lebih mengguris, kenyataan menteri itu mengundang persepsi seolah-olah institusi media boleh ditekan melalui talian telefon politik.

Ketika kerajaan berbangga dengan komitmen kebebasan bersuara dan meletakkannya sebagai sasaran penting dalam dasar Malaysia Madani, tindakan seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan semangat reformasi, bahkan mengingatkan kita kepada era lama yang cuba ditinggalkan.

Apakah wartawan tidak boleh bertanyakan soalan? Atau soalan mesti mengikut selera Menteri?