Menjejak Masjid Soekarno Di Saint Petersburg

Foto depositphotos.com

SAINT PETERSBURG: Cuaca musim luruh di Saint Petersburg, Russia tahun ini agak luar biasa dingin. Penghujung Oktober, rakyat tempatan berbaju tebal dan berpayung kerana sesekali hujan turun, awan hitam menutupi langit biru yang didambakan oleh pelancong. Untuk gambar kenangan yang cantik, pastinya.

Di sepanjang jalan, kami memerhati pokok berdaun keemasan yang lebat dengan gugus buah berwarna merah. Pemandu pelancong berbangsa Rusia, Catherine memberitahu, rakyat tempatan percaya tahun ini musim sejuk akan sangat dahsyat, dengan hanya melihat ‘persediaan’ yang sedang dibuat oleh alam sekeliling mereka.

“Yang anda lihat itu Ashberries, juga dikenali sebagai Rowanberries,” kata Catherine. Ketika musim salji teruk, Ashberries yang masam kelat bertukar menjadi manis, menjadi makanan penyelamat unggas dan manusia tidak berumah. Tahun ini Ashberries lebat luar biasa, dan menjadi petunjuk kepada musim sejuk Russia yang boleh mencecah di bawah -30 darjah celcius. 

Begitulah Tuhan Maha Kaya menyediakan rezeki untuk makhluknya, baik manusia atau haiwan. Menjadi pelajaran bagi manusia yang mahu mengambil peringatan. 

Foto Zostrov

10 hari di Saint Petersburg (dulunya dikenali sebagai Leningrad), Kazan (ibu kota negeri Islam Tartastan) dan Moscow, terpukau dengan keindahan warna musim luruh,  sungai dan senibinanya. Lebih teruja kerana kembara kami menjejaki banyak masjid bersejarah di tiga kota utama di Russia ini. 

Masjid Soekarno di St Petersburg? Mengapa ia dinamakan sempena bekas Presiden Republik Indonesia itu? Lebih menghairankan, reka bentuknya langsung tiada kaitan dengan ukiran seni bina Nusantara, sebaliknya sama dengan binaan bermarmar biru di Uzbekistan.

Foto Fail AP

Masjid itu sebenarnya dikenali sebagai Masjid St Petersburg, dibuka pada 1913, walaupun usaha pembinaanya dimulakan pada 1882 apabila Mufti Orenburg, Selim-Giray Tevkelev, memohon kebenaran dari Count Tolstoy, menerusi derma awam. 

Sumbangan terbesar diterima dari Pemerintah Bukhara, iaitu Said Abdoul Ahad, menggabungkan senibina Timur dan Barat. 

Namun pada 1940, Soviet Union mengharamkan semua aktiviti rumah ibadat, dan menukarnya menjadi gudang simpanan peralatan perubatan. Bagaimanapun, pada 1956, Presiden Sukarno yang melawat negara itu membuat rayuan kepada Pemimpin Soviet, Nikita Kruschev yang bersetuju mengembalikannya kepada masyarakat Islam. Sebagai mengenang jasa, masjid itu dinamakan sebagai Masjid Soekarno. 

Foto Wan Sabariah

CABARAN BERSOLAT DI NEGARA ORANG

Bermusafir libur di negara bukan Islam bukan bermakna terpaksa mengqada’ solat kerana sukar mencari tempat bersesuaian. Di Russia, walaupun penduduk Islamnya hanya kira-kira 300,000, namun ada lebih kira-kira 10,000 masjid pelbagai saiz.

Di Kazan, ibu negeri Tartarstan, yang mempunyai bilangan penduduk Islam tertinggi, ada kira-kira 6,000 masjid, sebahagiannya berperanan besar dalam sejarah pengembangan Islam di Eropah.

Bagi kita yang sudah terbiasa dengan kemudahan masjid di negara sendiri, pengalaman bilik tandas dan wuduk dengan ruang solat yang berjauhan menjadi cabaran utama, apatah lagi dalam cuaca dingin mencengkam. 

Foto Hiasan Pinterest

Bagi jemaah lelaki, tiada masalah tetapi bagi wanita, rasanya solat di negara Russia ini lebih afdal dan banyak pahala kerana begitu mencabar, mana hendak menjaga aurat mana pula hendak menahan diri dari kedinginan.

Akan tetapi, setiap masjid yang kami kunjungi ada persamaan – bersih, tersusun, dijaga oleh petugas masjid yang berusaha sebaik mungkin mempermudah urusan pelancong. Tandas masjid boleh dijadikan ruang rehat kerana begitu bersih, siap dengan tempat menggantung jaket dan tudung.

Minggu depan, saya akan berkongsi keseronokan menyusuri sejarah Kublai Khan di Bolgar, Tartastan.