
KUALA LUMPUR: Program MobileGraphy: Asas Shoot & Edit Photo/Video anjuran Persatuan Penduduk Saujana Utama 3 (PPSU3) bertujuan melatih warga setempat khususnya anak menguasai teknik asas dan lanjutan fotografi serta videografi menggunakan telefon pintar.
Program sehari itu berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Utama (2) (SUSeSS) dan dianjurkan Biro Sukan, Rekreasi & Pembangunan Remaja bersama Biro Media & Komunikasi PPSU3 dengan kerjasama Akademi Media Kreatif MyMojo.
Program berkenaan dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman, Mohammed Hazli Hassan (Cikgu Bobo) dengan fokus kepada teknik penggambaran serta penyuntingan foto dan video menggunakan aplikasi mudah alih.
Antara objektif utama penganjuran ialah mendedahkan peserta kepada kaedah suntingan mudah, menggalakkan penghasilan kandungan kreatif berkualiti tinggi serta mencungkil bakat baharu untuk disumbangkan sebagai sukarelawan fotografi dan videografi media sosial rasmi PPSU3.