
KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memperkasa agenda inklusiviti dengan memperkukuh penggunaan peranti e-Braille di masjid.
Langkah itu bertujuan memudahkan komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan mengakses pembelajaran al-Quran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan sebuah syarikat tempatan yang membangunkan peranti e-Braille buatan Malaysia.
“Alhamdulillah, hari ini kita menghadiri bengkel penggunaan peranti e-Braille serta penyerahan 10 unit peranti kepada guru al-Quran.
“Ini satu inovasi yang sangat bermakna kerana ia dihasilkan oleh anak tempatan dan ditawarkan pada kos yang lebih berpatutan serta berteknologi tinggi,” katanya.