
KUALA LUMPUR: Futurise Sdn Bhd, anak syarikat Cyberview Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan, kini ditempatkan di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Langkah itu menandakan usaha kerajaan menyelaraskan tadbir urus dan memperkukuh koordinasi dalam ekosistem inovasi negara, sekaligus memastikan transformasi digital berjalan lebih teratur dan berkesan.
MDEC dalam kenyataannya berkata, pemindahan itu mencerminkan komitmen kerajaan mempercepatkan inovasi masyarakat serta meningkatkan impak agenda ekonomi digital Malaysia.
Dengan penyatuan mandat Futurise di bawah MDEC, usaha mengurangkan pertindihan fungsi, memperkukuh penyelarasan dasar, dan mewujudkan pendekatan lebih menyeluruh terhadap masa depan digital negara dapat dicapai.
Di bawah naungan MDEC, Futurise akan memperluas peranannya sebagai pemacu strategik inovasi. Fokus utama termasuk pemodenan peraturan, nasihat dasar, serta pembangunan teknologi generasi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Usaha itu selaras dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara peneraju AI menjelang tahun 2030, sebagaimana digariskan dalam strategi nasional dan peruntukan bajet terkini.
Langkah ini hadir pada ketika MDEC melaporkan pencapaian besar dalam menarik pelaburan digital dan memperluas jejak Malaysia di peringkat global.
Pada tahun 2025 sahaja, Malaysia berjaya memperoleh pelaburan digital bernilai RM15 bilion di acara antarabangsa, manakala eksport digital yang direkodkan MDEC mencecah RM6.8 bilion, menghubungkan syarikat teknologi tempatan dengan pasaran dunia.
Penyertaan Futurise dijangka akan mengukuhkan lagi daya saing Malaysia dalam ekonomi digital.
Pemerhati industri berpendapat kepakaran Futurise dalam pembangunan “regulatory sandbox” dan dasar inovasi akan melengkapi mandat MDEC yang lebih luas dalam memacu penerimaan digital merentas sektor.
Sinergi ini dijangka mempercepatkan penggubalan rangka kerja baharu yang menyokong teknologi muncul, di samping menggalakkan kerjasama lebih erat antara kerajaan, industri dan akademia.