
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tindakan Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan bagi menurunkan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong tidak boleh diterima atau diiktiraf. Ini kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tindakan itu tidak selari dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Aminuddin menjelaskan pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025. Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan pada 17 April lepas pula bersetuju menasihati dan menerima kesepakatan Telaga Undang bagi memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10 atas 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat.
MB menjelaskan fungsi DKU Negeri Sembilan ialah bertindak sebagai badan penasihat dalam perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu, termasuk soal pemilihan dan perlucutan jawatan empat Undang Luak seperti diperuntukkan dalam Perkara 16 UUTKNS. Ini termasuk urusan pemberhentian seseorang Undang Luak daripada memegang pesaka mengikut adat luaknya di bawah Fasal 14(3) UUTKNS — prosedur yang pernah dilaksanakan sebelum ini apabila penyandang pesaka Undang Luak Johol ke-14 diberhentikan pada 27 Mac 2016.
Aminuddin turut memaklumkan sidang khas DKU yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah dipengerusikan sendiri oleh Tuanku Muhriz. Dalam sidang tersebut, Tuanku menguatkuasakan Fasal 24 UUTKNS 1959 dengan menjemput Ibu Soko Klana Hulu dan Waris Klana Hulu untuk turut bersama, memperlihatkan kesahihan dan kekuatan proses adat yang telah dijalankan.
Sumber: Bernama