
GEORGETOWN: Masjid Habib di Bandar Tanjong Pinang yang dibina kos RM30 juta, secara rasmi diisytiharkan sebagai Masjid Daerah Timur Laut.
Masjid itu akan menjadi pusat ibadah dan komuniti baru di Pulau Pinang.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Sadik Habib, berkata pembinaan yang bermula pada 2022 itu bagi merealisasikan impian murni Allahyarham ayahnya, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif untuk membina sebuah masjid di kampung halaman keluarga mereka di Pulau Pinang.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pengisytiharan Masjid Habib sebagai Masjid Daerah Timur Laut oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib.
Meer Sadik berkata, masjid itu dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan Habib, mampu menampung lebih 1,600 jemaah dan dilengkapi kemudahan lain untuk kegunaan awam seperti bilik kuliah, bilik mesyuarat serta dewan serba guna untuk majlis perkahwinan dan acara tertentu bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.