
MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki membawa kira-kira 50 tan metrik diesel bernilai hampir RM180,000 di kawasan perairan kira-kira 1.0 batu nautika barat daya Pulau Melaka, kelmarin.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria, berkata kapal ditahan bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan Operasi Murni dan Operasi Tiris 3.0 kira-kira jam 3.45 petang.
Menurutnya, kapal dikesan dalam keadaan bersauh sebelum pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 50 tan metrik bahan api disyaki diesel tanpa dokumen kebenaran sah.
“Nakhoda kapal gagal mengemukakan invois pembelian serta tidak mengisytiharkan kargo dalam dokumen Pelepasan Pelabuhan sebagaimana ditetapkan.
“Tindakan penahanan diambil ke atas kapal berkenaan dan kes disiasat mengikut peruntukan Akta Kastam 1967 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kapal dikendalikan lima kru warga Indonesia berusia antara 21 hingga 62 tahun itu disyaki memiliki barang kawalan tanpa permit sah dan gagal mematuhi peraturan pengisytiharan kargo,” katanya.