
KUALA NERUS: Sebagai mengiktiraf pendidikan tertinggi dalam usahanya membangunkan sukan tanah air, legenda olahraga negara, Datuk Marina Chin dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Pengiktirafan itu sebagai tanda penghormatan terhadap jasa Marina dalam bidang kejurulatihan, pendidikan dan pentadbiran sukan negara.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan anugerah berkenaan pada Istiadat Idul Ilmi Konvokesyen ke-17 UniSZA, semalam.
Bekas ratu pecut dan lari berpagar itu pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dengan meraih satu pingat emas dan tiga perak di Kejohanan Olahraga Asia, serta enam pingat emas dan lima perak di Sukan SEA.