
GEORGETOWN: Mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, cedera di kepala dan dikenakan 15 jahitan dipercayai akibat disamun di Taman Pekaka, di sini, semalam.
Universiti Utara Malaysia (UUM), meneusi Facebook memaklumkan Dzulkifli disamun selepas pulang daripada menunaikan solat Subuh.
“Beliau mengalami kecederaan di kepala dan dikenakan 15 jahitan berikutan dihentak dengan objek disyaki pistol oleh suspek.
“UUM turut bersimpati, mohon doakan Tan Sri Dzul,” menurut hantaran itu.
Keluarga Dzulkifli dalam kenyataan yang dikongsi UUM mengesahkan beliau kini stabil dan selamat selepas menjalani pemeriksaan penuh di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Alhamdulillah, beliau sudah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh di HPP dan disahkan sihat oleh doktor. Dua anak beliau kini tinggal bersama di Pulau Pinang. Insya-Allah, jangan bimbang.
“Laporan polis juga sudah dibuat berhubung kes ini dan kami akan memaklumkan perkembangan selanjutnya selepas siasatan polis selesai bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” menurut kenyataan itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 50-an ditahan bagi membantu siasatan kes samun hingga mendatangkan kecederaan terhadap bekas Rektor UIAM itu.
Beliau berkata, suspek berkenaan ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di Bayan Baru dekat sini.