Mansuh Matrikulasi Bukan Pendirian Rasmi UM

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) menegaskan bahawa kenyataan oleh Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) yang menyeru pemansuhan program matrikulasi tidak mencerminkan pendirian rasmi universiti.

Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman, berkata program matrikulasi nasional adalah sistem pendidikan komprehensif yang penting dalam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi untuk pelajar dari latar belakang berbeza.

Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan peluang pendidikan yang lebih inklusif dan saksama, katanya.

Menurutnya, UM komited menyokong dasar pendidikan nasional yang berasaskan prinsip keadilan, aksesibiliti dan pembangunan modal insan demi kemajuan negara.

Beliau juga menekankan bahawa UM sentiasa menyokong kebebasan bersuara dalam kalangan warga kampus.

Namun, kebebasan ini perlu disertai dengan tanggungjawab dan kepekaan terhadap implikasi kenyataan yang dibuat, terutamanya yang melibatkan dasar awam.

UMANY sebelum ini mencadangkan agar STPM dijadikan satu-satunya standard kemasukan ke program ijazah di universiti awam.

Sementara itu, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyatakan Program matrikulasi adalah laluan penting ke pendidikan tinggi.

Pemansuhannya boleh mengehadkan akses pelajar dan menjejaskan pembangunan pendidikan negara.

MPPK menyeru agar isu pendidikan dibincangkan secara rasional dan profesional, bukan berdasarkan emosi atau kepentingan tertentu.